Contoh-contoh karangan

27 Jun

Baca dan pastikan format karangan yang dilampirkan

1

Kamu mewakili sekolah dalam satu pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan ialah “Ke Arah Memupuk Tabiat Membaca dalam Kalangan Kanak-kanak”. Sediakan syarahan kamu selengkapnya.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim, guru-guru, tuan-tuan, puan-puan, dan rakan-rakan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk “Ke Arah Memupuk Tabiat Membaca dalam Kalangan Kanak-kanak”. Tajuk ini bolehlah didefinisikan sebagai cara-cara menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak-anak.

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Pepatah ini bertepatan dengan peranan ibu bapa dalam memupuk tabiat membaca dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa seharusnya menunjukkan sikap suka membaca di hadapan anak-anak. Oleh yang demikian, anak-anak akan terdorong untuk meniru sikap tersebut.

Ibu bapa berperanan di rumah untuk memupuk minat membaca dalam diri anak-anak mereka. Usaha menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah amat berkesan. Selain itu, ibu bapa hendaklah meluangkan masa membawa anak-anak ke kedai buku atau melawat pameran buku.

Pihak sekolah juga perlu memainkan peranan penting dalam usaha ini. Penyediaan pelbagai bahan bacaan seperti buku, majalah, surat khabar, dan jurnal di perpustakaan sekolah secara tidak langsung dapat menarik minat membaca dalam kalangan murid-murid. Sikap positif ini penting kepada murid-murid kerana membaca merupakan landasan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

Di samping itu, beberapa bentuk rangsangan yang dapat menggalakkan murid-murid membaca perlu diadakan oleh pihak sekolah. Sebagai contoh, ganjaran berbentuk sijil penghargaan dan hadiah diberi kepada murid-murid yang menunjukkan peningkatan jumlah bacaan. Peraduan membaca boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah, khususnya untuk memupuk minat.

Sekian sahaja syarahan saya pada pagi ini. Harapan saya agar kita turut mengamalkan tabiat suka membaca untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan. Sekian, terima kasih.

2.

Kelas kamu akan mengadakan jamuan perpisahan. Dalam majlis itu, guru besar dan guru-guru turut hadir. Sebagai ketua murid tahun enam, kamu diminta berucap dalam majlis itu.
Sediakan ucapan kamu selengkapnya.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha tuan guru besar, guru-guru penolong kanan, guru-guru, dan rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang berucap dalam majlis ini. Bersyukur saya kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya, majlis jamuan ini berjaya diadakan.

Hadirin sekalian,

Saya selaku ketua murid tahun enam sekolah ini mengalu-alukan kehadiran tuan guru besar dan semua guru ke majlis ini. Ucapan terima kasih juga kepada rakan-rakan uang bertungkus lumus untuk menjayakan majlis ini. Seperti hadirin sedia maklum,

majlis ini diadakan bersempena dengan perpisahan kami sebagai murid tahun enam yang akan meninggalkan alam persekolahan di sekolah rendah. Pada hari yang berbahagia ini, saya mewakili rakan-rakan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sekalian guru di sekolah ini kerana banyak berkorban demi mendidik dan membimbing kami. Jasa kalian amat kami hargai.

Hadirin sekalian,

Walaupun berat rasa hati hendak meninggalkan sekolah ini, namun kami terpaksa juga melaluinya. Sudah sampai masanya untuk kami melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar. Segala didikan guru tidak akan kami persiakan. Kami akan meneruskan usaha demi mencapai cita-cita yang diimpikan. Doakan kejayaan kami.

Doa dan harapan kami pohonkan agar guru-guru beroleh kesejahteraan hidup untuk terus menabur bakti di sekolah ini. Kepada guru sekalian, kami memohon ampun dan maaf seandainya selama enam tahun kami di sini, kami banyak melakukan kesilapan sama ada dari segi tutur kata atau perbuatan. Harapan kami juga semoga sekolah ini akan terus cemerlang. Sekian, terima kasih.

 

3

Tulis sebuah berita tentang kejadian banjir yang berlaku di tempat kamu

KOTA TINGGI, Sabtu – Bandar Kota Tinggi sekali lagi dilanda banjir. Kejadian kali ini berpunca daripada air sungai Kota Tinggi yang mengalami fenomena air pasang besar serta ditambah pula dengan hujan yang turun dengan lebat sejak petang semalam.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir daerah Kota Tinggi, Encik Fuad Abdullah, kejadian banjir kali ini adalah lebih teruk daripada yang berlaku pada bulan lalu. Paras banjir kali ini lebih satu meter daripada bulan lalu.

Para peniaga telah dimaklumkan lebih awal apabila siren amaran banjir berbunyi pada awal pagi tadi. Hal ini membolehkan peniaga menyelamatkan barang-barang dagangan mereka sebelum premis mereka dinaiki air. Setakat tengah hari tadi, seramai 500 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir.

Sementara itu, pegawai bomba dan penyelamat Kota Tinggi melaporkan bahawa seramai 50 orang anggota bomba telah dikerahkan untuk menjalankan oprasi menyelamat. Tumpuan diberikan kepada penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai Antara kampung yang terjejas teruk ialah Kampung Tembioh, Kampung Makam, dan Kampung Mawai.

Pejabat Daerah Kota Tinggi turut menghantar para pegawainya untuk memantau operasi menyelamat dan keperluan asas di tempat pemindahan seperti makanan, pakaian, dan ubat-ubatan.

 

4

Sekolah kamu telah mengadakan aktiviti perkhemahan unit beruniform. Sebagai setiausaha Persatuan Pengakap, kamu diminta menulis laporan tentang perkhemahan tersebut.Mbr> Tulis laporan kamu itu selengkapnya.

Laporan Perkhemahan Unit Beruniform
Sekolah Kebangsaan Setia Jaya

Pada 20 Jun 2010 hingga 21 Jun 2010, Sekolah Kebangsaan Setia Jaya telahmengadakan program perkhemahan unit beruniform di Kem Sekayu. Pasukan beruniform yang terlibat ialah Persatuan Pengakap, Tunas Puteri, Persatuan Bulan Sabit Merah, dan Puteri Islam.

Sebanyak 120 peserta yang mewakili unit-unit tersebut mengambil bahagian. Mereka diiringi oleh 20 orang guru penasihat. Semua peserta dan guru menaiki tiga buah bas yang disewa khas untuk ke kem tersebut yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sekolah.

Di kem tersebut, para peserta dibahagikan kepada 12 kumpulan. Setiap kumpulan diselia oleh dua orang guru pengiring Antara aktiviti yang dijalankan semasa perkhemahan tersebut ialah merentas halangan, ikhtiar hidup, keselamatan dalam air, pertolongan cemas, persembahan nyanyian, serta pertandingan reka cipta.

Para peserta perkhemahan menunjukkan semangat kerjasama yang erat “umpama aur dengan tebing”. Mereka didedahkan dengan pelbagai pengetahuan yang amat berguna terutama dalam aktiviti ikhtiar hidup. Mereka belajar mengenal tumbuhan yang dapat dimakan dan yang beracun, cara memasak, serta cara berlindung di dalam hutan.

“Aktiviti perkhemahan ini Berjaya mencapai matlamatnya. Para peserta yang terlibat menunjukkan sifat kepimpinan, keberanian, dan kerjasama mereka selain mempamerkan disiplin yang tinggi dalam setiap aktiviti,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Setia Jaya, Puan Halimah Sakirin ketika majlis penutupan program tersebut.

Program yang bermanfaat ini akan diadakan lagi pada thun hadapan. Sekalung tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakannya.

Laporan disediakan oleh,

……. Zueriani…………………
(ZUERIANI BINTI IBRAHIM)
Setiausaha,
Persatuan Pengakap,
Sekolah Kebangsaan Setia Jaya.

 

5

Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada kita. Tulis karangan tentang cara-cara menjaga kesihatan diri.


Kesihatan diri amat penting dalam menjamin kesejahteraan hidup. Oleh itu, kita perlu mengutamakan kesihatan diri dengan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan kesihatan kita sentiasa baik.

Antara cara untuk mengekalkan kesihatan diri adalah dengan bersenam. Bersenam sekurang-kurang tiga kali seminggu, kira-kira 30 minit bagi setiap sesi, dapat menguatkan otot jantung, melancarkan peredaran darah, serta mencergaskan badan. Kita juga boleh berjoging atau bersukan sebagai satu daripada kaedah bersenam.

Kebersihan juga penting dalam menjaga kesihatan diri. Kita perlu sentiasa membersihkan badan, contohnya dengan mandi, menggosok gigi, dan bersyampu. Hal ini dapat menjauhkan kuman yang menjadi punca pelbagai penyakit.

Kebersihan pakaian dan persekitaran juga perlu dijaga untuk kekal sihat. Elakkan memakai pakaian yang kotor untuk mengelakkan jangkitan kuman. Selain itu, pastikan persekitaran kita bebas daripada serangga perosak atau bahan cemar yang boleh mendatangkan penyakit.

Kita juga perlu memakan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Elakkan pengambilan gula, garam, dan lemak yang berlebihan yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya seperti diabetis, darah tinggi, dan penyakit jantung.

Kesimpulannya, kita harus sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat. Sayangi diri demi kesejahteraan hidup.

 

Tinggalkan komen